4 Resepi Nasi Maqlubah (Daging, Ayam & Kambing)

Nasi Maqlubah merupakan antara hidangan Timur Tengah yang unik. Ini adalah kerana nasi ini dibuat dengan kaedah yang unik iaitu dengan menyusun bahan secara terbalik, dan akan terbalikkan pula periuk nasi. Kalau nak tahu caranya, boleh tengok beberapa resepi nasi maqlubah ini.

Anda boleh menggunakan ayam, daging dan juga kambing untuk hidangan ini.

Jom tengok.

1. Resepi Nasi Maqlubah Daging

Bahan-bahan nasi

  • 1 kg daging (potong 12 ketul)
  • 6 pot beras Basmathi (rendam selama 20 minit)
  • 4 sudu rempah nasi
  • 1 sudu rempah kurma
  • 1/2 sudu rempah kari ayam
  • 1 bekas kecil yogurt asli
  • 1 labu bawang besar (1 tumis, 1 kisar)
  • 5cm halia
  • 7 ulas bawang putih
  • 2 sudu minyak masak
  • 2 sudu minyak sapi
  • 3cm kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum buah pelaga
  • 2 helai daun bay
  • 1 biji terung
  • 3 biji tomato
  • Bunga kobis
  • 1 biji lada benggala
  • 1 genggam daun pudina & daun ketumbar
  • Gajus
  • Kismis

Cara buat nasi maqlubah

  1. Potong terung, lada benggala dan tomato setebal 1 cm. Potong bunga kobis ikut kelopak.
  2. Tabur sedikit garam dan goreng sehingga layu.
  3. Gorengkan juga gajus dan kismis.
  4. Belah 4 bawang besar dan hiris nipis. Goreng juga sehingga layu keemasan.
  5. Kisar bawang besar, halia dan bawang putih.
  6. Panaskan minyak dan minyak sapi.  Tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan daun bay.
  7. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga garing.
  8. Masukkan daging dan kacau rata. Masukkan rempah nasi dan rempah kurma. Gorengkan dengan daging sebentar.
  9. Masukkan air secukupnya untuk dibuat sup dan untuk air masak nasi.
  10. Tambahkan 1 sudu kecil serbuk lada hitam, garam dan cukup rasa. Masak sehingga daging lembut.
  11. Apabila daging sudah empuk, asingkan 3-4 cawan untuk dibuat sup. Hanya tambahkan daun sup dan sedia untuk dihidang.
  12. Untuk nasi, tambahkan serbuk rempah kari ayam dan yogurt. Perasakan jika perlu.
  13. Perahkan 1/2 biji lemon.
  14. Masukkan beras, bawang goreng, daun pudina dan daun ketumbar. Kacau rata dan masak nasi.
  15. Dalam periuk lain, susun tomato, terung dan lada benggala yang sudah digoreng tadi.
  16. Letakkan nasi ke atasnya, lapiskan dengan daging dan sayur lain pula.
  17. Letakkan nasi lagi dan tekan sedikit.
  18. Padatkan nasi dan letakkan 1/2 senduk sup rata di atas nasi.
  19. Tutup periuk dan masak atas api perlahan selama 3-4 minit.
  20. Sediakan bekas atau dulang besar. Terbalikkan periuk.
  21. Tabur lebihan gajus dan kismis.

Bahan-bahan sambal

  • 5 biji cili merah (dibuang biji)
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang merah
  • Sos cili
  • Cuka
  • Gula
  • Garam

Cara buat sambal

  1. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili merah.
  2. Panaskan minyak masak. Tumis sos sehingga mendidih.
  3. Perasakan dengan garam, gula dan cuka.

Bahan-bahan raita / salad mayo

  • Timun (buang pulur)
  • Cili hijau muda / campsicum (buang biji)
  • Lobak merah
  • Epal hijau
  • Bawang holland
  • Yogurt asli
  • Mayonis
  • Garam halus

Cara buat raita / salad mayo

  1. Potong semua bahan dadu menjadi kecil.
  2. Gaul bersama yogurt dan mayo.
  3. Perasakan dengan garam. Sejukkan dan sedia untuk dihidang.

Sumber: Faizah binti Abdul Hamid dari Masak Apa Hari Ni

 

2. Resepi Nasi Maqlubah Ayam

Resepi ini untuk 30-35 orang makan.

Bahan-bahan

  • 4 ekor ayam (belah 8)
  • Serbuk jintan manis
  • Serbuk jintan putih
  • Serbuk kayu manis
  • Serbuk ketumbar
  • Beras basmathi
  • Lemon
  • Tomato
  • Kentang
  • Bunga kobis
  • Terung
  • Yogurt perasa asli
  • Timun Jepun
  • Sos cili

Cara buat nasi maqlubah

  1. Potong kentang, bunga kobis dan terung. Lumurkan dengan garam dan kunyit, dan goreng separuh masak.
  2. Tumbuk bawang merah dan putih.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk.
  4. Letakkan air, pastikan air banyak untuk masak nasi. Tambahkan lagi 4 sudu makan serbuk jintan manis dan jintan putih, 3 sudu serbuk ketumbar dan kayu manis, garam dan perencah masakan.
  5. Masukkan ayam dan rebus separuh masak.
  6. Potong 4 bawang besar. Angkat ayam dan perap lagi dengan 4 jenis rempah tadi.  Tambahkan garam dan serbuk kunyit. Goreng sekejap.
  7. Ambil 4 sudu yogurt dan campurkan dengan air panas. Kisar sehingga tidak berketul dan taburkan garam sedikit.
  8. Kisar 4 biji tomato dengan cili api hijau dan merah sedikit. Masukkan ke dalam mangkuk dan letakkan sos cili. Gaulkan.
  9. Di dalam periuk nasi besar, susunkan kentang di bawah sekali secara telangkup. Susun pula terung dan bunga kobis.
  10. Masukkan ayam yang sudah digoreng dan kemudian beras.
  11. Letakkan air rebusan ayam tadi sehingga bahan lain tenggelam.
  12. Letakkan 7 biji lada hitam dan buah pelaga.
  13. Untuk salatah, potong dadu romato dan timun. Letakkan gula, garam dan perahan lemon. Gaulkan.
  14. Setelah nasi masak, terbalikkan nasi ke dalam dulang dan sedia untuk dihidang.

Sumber: Atiqah Sulaiman dari Masak Apa Hari Ni

 

3. Resepi Nasi Maqlubah Kambing

Bahan-bahan

  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 2 sudu kecil biji ketumbar
  • 1 sudu kecil cengkih
  • 1/2 sudu kecil isi buah pelaga
  • 1.5 sudu besar paprika
  • 1 sudu kecil serbuk kayu manis
  • 1/4 sudu kecil serbuk buah pala
  • Terung
  • 4 cawan beras Basmathi
  • 800g daging
  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 helai daun bay
  • Sedikit kayu manis
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • Minyak canola dan minyak zaitun
  • Kentang
  • Tomato
  • Kacang pain (pine nuts)
  • Hirisan badam
  • Kacang gajus

Cara buat nasi maqlubah

  1. Sangai lada hitam, jintan putih, ketumbar, cengkih dan isi buah pelaga sehingga wangi. Sejukkan.
  2. Kisar dengan blender kering hingga halus.
  3. Setelah dikisar, campurkan dengan paprika, serbuk kayu manis dan serbuk buah pala. Simpan serbuk rempah di dalam botol kaca untuk tahan lama.
  4. Hiris terung dalam 1/2 inci memanjang. Garamkan dan biar antara 30 minit – 1 jam.
  5. Basuh, tos dan keringkan dengan tisu dapur. Ketepikan.
  6. Sementara tunggu terung digaram, rendam beras selama 30 minit. Tos dan ketepikan.
  7. Potong daging basuh dengan tepung. Bilas dan toskan.
  8. Hiris nipis bawang besar, cincang bawang putih.
  9. Panaskan sedikit minyak canola dan minyak zaitun guna api besar. Perangkan daging tetapi jangan sehingga jus keluar. Ketepikan.
  10. Tumis bawang besar, bawang putih, daun bay, kayu manis dan lada hitam sehingga kuning dan wangi.
  11. Masukkan daging dan kacau. Taburkan garam dan 2 sudu besar serbuk rempah mula-mula tadi. Kacau rata.
  12. Masukkan 1 liter air dan rebus daging hingga agak empuk.
  13. Sementara itu, kupas, dadu dan goreng kentang.
  14. Kemudian, goreng terung yang sudah dikeringkan tadi.
  15. Hiris tomato dan buang bijinya.
  16. Goreng juga kacang pain (pine nuts), hirisan badam dan sedikit kacang gajus.
  17. Bila daging sudah agak empuk, toskan dan ketepikan air rebusan daging.
  18. Di dalam periuk besar, minyakkan sedikit periuk. Susun terung goreng di bawah dan di tepi periuk.
  19. Letakkan segenggam beras di atas terung, kemudian susun daging.
  20. Susunkan pula tomato dan lapisan kentang. Taburkan garam laut di atas kentang.
  21. Masukkan beras dan 6 cawan lebih air rebusan daging.
  22. Jerang dengan api agak besar selama 7 minit. Apabila sudah mendidih, kecilkan api.
  23. Tutup periuk dan jerang dengan api kecil selama 45 minit.  Minit ke 20, buka tutup dan gaul sedikit nasi dan tutup semula periuk.
  24. Setelah 45 minit, buka periuk. Gunakan sudu untuk rata dan tekan nasi agar padat.
  25. Tutup periuk dan matikan api. Biarkan selama 20 minit.
  26. Setelah 20 minit, buka tutup periuk dan buat laluan untuk pastikan terung tidak melekat di tepi.
  27. Ambil dulang, dan terbalikkan. Hias dengan kekacang dan hirisan daun parsley.

Bahan-bahan salata hara

  • 1/2 kotak tomato ceri
  • 5 batang cili api merah
  • 3 biji bawang putih
  • 1 batang lada hijau
  • 1 biji perahan limau nipis
  • Garam dan gula
  • 8 batang daun ketumbar

Cara buat salata hara

  1. Kisar semua bahan kecuali daun ketumbar sehingga menjadi sos tanpa tambah air.
  2. Hiris halus daun ketumbar dan adjust rasa mengikut citarasa.

Bahan-bahan salad timun dengan yoghurt

  • 2 beka kecil yoghurt asli
  • 1 batang timun
  • 1/2 bawang besar
  • 1/2 biji tomato
  • Sedikit daun pudina
  • Garam dan serbuk lada hitam

Cara buat salad timun dengan yoghurt

  1. Tapiskan yoghurt bagi air keluar.
  2. Potong timun, kupas kulit dan potong dadu.
  3. Potong dadu bawang besar dan tomato.
  4. Hiris nipis daun pudina.
  5. Gaulkan semua bahan di atas dan sedia untuk dihidang.

Sumber: Ummu Ashraf dari Masak Apa Hari Ni

 

4. Resepi Nasi Maqlubah Simple

Bahan-bahan A

  • Beras (rendam dengan air dan rempah maqlubah + garam selama 30 minit)

Bahan-bahan B

  • Kentang
  • Kobis bunga
  • Terung
  • Lobak (option)

Bahan-bahan C

  • Ayam (digaul dengan rempah maqlubah & goreng)

Bahan-bahan D (salatoh / acar)

  • Tomato
  • Timun
  • Perahan lemon
  • Sedikit garam

Bahan-bahan E

  • Yogurt
  • Kacang

Cara buat nasi maqlubah

  1. Letakkan sedikit minyak gorengan ayam.
  2. Susun bahan B dan C di tapak kuali.
  3. Masukkan beras.
  4. Masukkan air mengikut sukatan.
  5. Masak dengan tempoh yang lama guna api paling perlahan.
  6. Bila sudah masak, terbalikkan kuali di atas dulang dan taburkan kacang.
  7. Untuk bahan D, potong dadu dan gaulkan kesemua bahan.

Sumber: Husna Aqrab dari Masak Apa Hari Ni

 

Akhir kata

Sekian perkongsian resepi nasi maqlubah dari kami. Jika anda nak resepi yang sedap dan senang sedikit, boleh cuba resepi nasi arab dari kami.

Selain itu, boleh juga tengok resepi nasi ayam, nasi kerabu, nasi tomato, dan nasi minyak. Senang sahaja resepiny.

Untuk dessert pula, boleh cuba resepi kunafa.

Selamat mencuba!

Leave a Comment