4 Resepi Nasi Dagang Terengganu Asli (Simple & Sedap)

Kalau di Kelantan popular dengan sarapan nasi tumpang, kalau di Terengganu pula popular dengan nasi dagang sebagai sarapan. Nasi dagang mungkin kelihatan agak rumit untuk dibuat, tapi sebenarnya tidaklah susah untuk membuat sarapan yang sedap ini. Yang pasti, bahan kena cukup. Di sini kami kongsikan resepi nasi dagang Terengganu yang mudah sahaja untuk anda cuba.

Jom kita tengok.

1. Resepi Nasi Dagang Terengganu Mudah

Bahan-bahan nasi

  • 2 pot beras basmathi pusaking
  • 2 sudu beras pulut
  • Halia (mayang halus)
  • Bawang merah (mayang halus)
  • 1/2 kotak santan
  • Garam dan gula
  • 2 sudu halba

Cara buat nasi dagang

  1. Kukus beras dan beras pulut sehingga separuh masak.
  2. Letakkan beras dan beras kukus yang sudah dikukus separuh masak di dalam besen besar. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk lain, masukkan santan, halia, bawang, halba, gula dan garam. Kacau sebati.
  4. Masukkan ke dalam besen tadi dan gaul sebati. Gaul perlahan untuk elakkan nasi patah.
  5. Kukus lagi sekali hingga masak.
  6. Letakkan di dalam bekas yang dialas daun pisang, tekan sedikit biar mampat. Tutup nasi dengan daun pisang dan sedia untuk dihidang.

Bahan-bahan gulai ikan

  • Ikan aye / tongkol
  • 11 ulas bawang merah
  • 1 labu bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 genggam cili kering (direbus)
  • 1 paket kecil rempah kari ikan
  • 1 paket kecil rempah gulai bunga ros
  • 2 kotak kecil santan
  • Air
  • Asam keping
  • Gula nisan / kerek / melaka
  • Garam
  • Cili api merah dan hijau

Cara buat gulai ikan

  1. Rebus ikan sehingga tenggelam ikan bersama asam keping dan garam.
  2. Rebus sehingga air sedikit kering dengan api perlahan.
  3. Kisar bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering.
  4. Panaskan minyak agak banyak dan tumiskan bahan kisar, rempah-rempah, sedikit air bersama gula. Tumis sehingga pecah minyak dan kering.
  5. Ulang tumis ini sebanyak 3 kali dan ketepikan.
  6. Dalam periuk lain, masukkan santan dan sedikit air. Kemudian masukkan bahan tumisan tadi dalam periuk berisi santan. Buka api dan kacau sebati.
  7. Masukkan garam, asam keping, ikan yang direbus dan cili padi. Masak sehingga kuah pekat dengan api perlahan. Siap.

Bahan-bahan acar timun

  • Timun
  • Lobak
  • 2 biji bawang merah
  • 1 biji lada besar
  • 3 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 sudu besar cuka

Cara buat acar timun

  1. Buang biji dan hiris halus timun dan lada besar.
  2. Hiris halus lobak merah dan bawang merah.
  3. Gaul sebati semua bahan dan sedia untuk dihidang.

Sumber: Haadii Nadia dari Masak Apa Hari Ni

 

2. Resepi Nasi Dagang Terengganu

Bahan-bahan nasi

  • 4 cawan beras
  • 1 cawan beras pulut
  • 3 cawan santan cair + sedikit gula dan garam
  • 1 1/2 cawan santan KARA + sedikit garam
  • 1 sudu besar halba
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia

Cara buat nasi dagang

  1. Campurkan beras dengan beras pulut dan rendam semalaman. Paling sekejap 2 jam.
  2. Kukusr beras yang sudah direndam tadi selama 20 minit.
  3. Angkat dan kaup nasi dalam bekas besar dan gaulkan dengan santan cair sehingga rata. Biar seketika hingga santan meresap.
  4. Kukus semula selama 20 minit lagi.
  5. Hiris bawang merah, bawang putih dan halia. Masukkan ke dalam santan pekat.
  6. Panaskan sebentar di atas api, jangan sehingga mendidih.
  7. Angkat nasi untuk kali kedua dan arunkan dengan santan pekat sehingga rata. Tak perlu habiskan jika nasi sudah nampak elok lembut.
  8. Kukus semula dalam 20 minit lagi. Angkat dan boleh dihidangkan.

Bahan-bahan gulai ikan

  • 1 ekor ikan aya hitam
  • Asam keping
  • Garam
  • 1 sudu serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu serbuk jintan putih
  • 2 hiris lengkuas
  • 1 hiris halia
  • 1 biji bawang besar*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 3 sudu cili mesin
  • 3 sudu besar rempah gulai cap bunga ros
  • 2 sudu besar rempah daging adabi
  • 500ml santan kotak
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 sudu kerisik
  • Sedikit belacan
  • 4 keping asam keping
  • 1 keping besar gula nisan
  • 10 biji cili padi
  • Sedikit garam

Cara buat gulai ikan

  1. Rebus ikan bersama asam keping dan garam.
  2. Kisar bahan-bahan bertanda * dan tumis bahan tersebut sehingga wangi dan kuning.
  3. Masukkan serbuk jintan putih, jintan manis, serbuk ketumbar, rempah gulai, serbuk kari, cili mesin dan kulit kayu manis.
  4. Masukkan santan dan biar mendidih. Masukkan sedikit garam, asam keping dan gula nisan. Sesuaikan mengikut rasa yang diingini.
  5. Masukkan air rebusan ikan dan ikan. Biarkan mereneh selama 1/2 jam dan masukkan cili padi.
  6. Masak sebentar dan siap. Boleh masak lagi lama untuk kuah lagi pekat.

Bahan-bahan acar timun

  • Timun
  • Lobak merah
  • Cili merah
  • Bawang holland
  • 1 sudu gula
  • 1 sudu garam
  • 1 sudu cuka

Cara buat acar timun

  1. Hiris memanjang timun, lobak, cili merah dan bawang holland.
  2. Gaul sebati semua dan siap.

Sumber: Rozmaliza Omar dari Masak Apa Hari Ni

 

3. Resepi Nasi Dagang Terengganu Guna Rice Cooker

Bahan-bahan nasi dagang

  • 4 cawan beras basmathi
  • 1 cawan beras pulut
  • Santan kotak kecil tambah air sama dengan jumlah beras
  • 1 sudu halba
  • 2 ulas bawang merah
  • 1/2 inci halia

Cara buat nasi dagang

  1. Basuh beras dan pulut dan rendam dalam 1-2 jam.
  2. 200ml kotak kecil santan dicampur dengan air sehingga cukup 5 cawan ikut cawan sukat beras.
  3. Hiris bawang, halia dan campur sedikit halba dengan secubit garam.
  4. Masukkan semua bahan dalam periuk nasi dan masak seperti biasa.

Bahan-bahan gulai ikan

  • 1 ekor ikan tongkol / aye
  • 3 ulas bawang putih (diketuk)*
  • 1 inci halia (dihiris)*
  • 1/2 inci lengkuas (dihiris)*
  • 3 keping asam gelugur
  • 1 sudu teh garam*
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 1 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1/2 sudu teh halba
  • 1/4 sudu teh jintan manis
  • 2 sudu besar penuh cili kisar
  • 1 sudu besar penuh rempah masak cap bunga ros*
  • 1 sudu besar penuh rempah gulai cap bunga ros*
  • 10 biji cili padi (belah 2 tapi tak putus)
  • 1 biji bawang besar (dibelah 6)
  • 1 sudu besar gula melaka
  • 1 cawan pati santan
  • Air rebusan ikan secukupnya
  • Garam

Bahan-bahan kisar halus

  • 8 biji bawang merah kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 keping hirisan lengkuas

Cara buat gulai ikan

  1. Siang dan keratkan ikan tongkol. Cuci bersih dan rebuskan bersama asam keping dan garam.
  2. Apabila sudah direbus, asingkan ikan dan tapis air rebusan. Ketepikan.
  3. Satukan rempah gulai dan rempah masak dengan bahan-bahan kisar halus. Gaul rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan.
  4. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang besar hiris, jintan manis dan halba sehingga harum dan bawang layu.
  5. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing.
  6. Tambahkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masak guna api kecil dan sentiasa kacau.
  7. Tuang air rebusan ikan tadi, kacau dan biarkan mendidih.
  8. Masukkan ikan tongkol, tuang santan dan masukkan gula melaka. Kacau perlahan.
  9. Apabila kuah sudah menggelegak, kecilkan api dan reneh hingga pekat. Tambah garam secukup rasa.
  10. Masukkan cili padi dan kacau perlahan. Masak sekejap dan boleh tutup api.

Bahan-bahan acar

  • 2 biji timun
  • 1 batang lobak
  • 1 biji bawang besar
  • 1 biji cili merah
  • 6 sudu besar cuka makan
  • Garam dan gula

Cara buat acar timun

  1. Buang biji dan hiris halus timun. Rendam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam.
  2. Hiris juga lobak dan rendam dalam air garam selama 15 minit. Tos dan perah airnya dan ketepikan.
  3. Hiris halus cili merah dan belah lapan bawang besar lalu leraikan. Ketepikan.
  4. Dalam mangkuk, masukkan cuka, garam dan gula secukup rasa. Kacau hingga laruty.
  5. Masukkan hirisan timun, lobak merah, bawang besar dan cili merah. Gaul rata dan biarkan selama 10 minit.

Sumber: Eja Fendi dari Masak Apa Hari Ni

 

4. Resepi Nasi Dagang Terengganu Simple

Bahan-bahan nasi dagang

  • 1 kg beras wangi
  • 2 cawan santan cair
  • 2 cawan santan pekat
  • 4-5 biji bawang merah (mayang halus)
  • 1 nci halia (mayang halus)
  • 1 sudu besar halba
  • Garam dan gula

Cara buat nasi dagang

  1. Rendam beras semalaman dan cuci bersih.
  2. Panaskan kukusan dan alaskan dengan daun pisang.
  3. Kukus beras untuk kali pertama selama 20-30 minit.
  4. Keluarkan nasi dari periuk kukus dan masukkan ke dalam besen besar. Campurkan bersama santan cair dan gaul sebati.
  5. Kukus semula dan waktu kukus kali kedua masukkan halba. Kukus sehingga masak selama 20 minit.
  6. Masukkan sekali lagi nasi ke dalam besen besar dan gaulkan dengan santan pekat yang sudah diperasakan dengan garam dan gula.
  7. Setelah sebati, masukkan halia dan bawang merah.

Bahan-bahan gulai ikan

  • 1 ekor ikan tongkol (kukus/rebus bersama asam keping + garam + nisan semalaman)
  • 10 biji bawang merah*
  • 4 biji bawang putih*
  • 1 inci halia*
  • 1 inci lengkuas*
  • 3-4 sudu cili boh
  • 200ml santan
  • Asam keping
  • Nisan kerek
  • Garam
  • 5 sudu besar rempah gulai
  • Minyak untuk menumis
  • Beberapa biji cili padi merah dan hijau
  • Beberapa biji telur rebus (dimasukkan selepas gulai masak)

Cara buat gulai ikan

  1. Kisar bahan-bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak banyak dan masukkan bahan kisar, campuran rempah bersama cili boh dan tumis sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan sedikit demi sedikit air rebusan ikan.
  4. Masukkan ikan dan asam keping. Tambahkan santan.
  5. Tunggu mendidih dan perasakan.

Bahan-bahan acar

  • Timun
  • Lobak merah
  • Bawang merah
  • Cili merah besar
  • Cuka
  • Garam
  • Gula

Cara buat acar

  1. Potong timun, lobak, bawang dan cili tirus-tirus.
  2. Campurkan semua bahan dan seimbangkan rasa mengikut citarasa anda. Sedia untuk dihidang.

Sumber: Raja Azlina dari Masak Apa Hari Ni

 

Akhir kata

Mudah sahaja kan untuk buat hidangan ini? Ikut sahaja resepi nasi dagang Terengganu yang kami kongsikan ini.

Kalau minat masakan dari Terengganu yang lain, boleh cuba apam kuah, nasi telur Terengganu dan juga nasi kuning Terengganu.

Selamat mencuba!

Leave a Comment